Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan bahawa hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular adalah tidak haram.
Jelasnya, seperti dipetik dari Bernama, ia boleh dibeli dan dimakan selagi dibuat dari sumber halal.
"Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.
"Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia"
Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.
"Malah, masyarakat juga diingatkan agar tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, roti canai ular dihasilkan pengusaha roti canai, Che Harun Ali, 46, di Kota Bharu, Kelantan mendapat sambutan hangat selepas roti canai berbentuk ular itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu. - CARI
No comments:
Post a Comment